MENU

Tatacara Meletak Kupon Kenderaan

Pengumuman

Kupon baru (jenis gores) akan mula digunakan bermula 1 Oktober 2014 dan kupon lama (jenis tebuk) sah digunakan sehingga 31 Disember 2014. Pengguna boleh mendapatkan kupon baru dari ejen-ejen jualan yang terpilih di sekitar bandar Kota Tinggi. 

Kawasan Operasi Sistem Letak Kereta Berkupon
Kupon letak kereta hendaklah digunakan apabila meletak kenderaan bermotor di tempat letak kereta berkupon yang tertera di dalam Jadual Pertama.

Syarat-syarat Bagi Menggunakan Kupon Letak Kereta

  • Mana-mana orang yang menggunakan kupon letak kereta yang dikeluarkan oleh Majlis atau mana-mana orang yang diberi kuasa oleh Majlis untuk meletakkan kenderaan bermotor hendaklah mematuhi peruntukan-peruntukan dan syarat-syarat yang dinyatakan di dalam kupon letak kereta.
  • Seseorang yang gagal mematuhi peraturan-peraturan dan syarat-syarat yang disebutkan di bawah subperenggan 1 adalah melakukan suatu kesalahan.

Tempat-tempat Kupon Letak Kereta Diperlukan
Pemandu atau pemunya kenderaan bermotor yang menggunakan kupon letak kereta untuk meletakkan kenderaan bermotornya di mana-mana petak letak kereta kecuali di petak letak kereta bermusim atau tempat letak kereta terkawal mengikut tempoh masa yang dibenarkan seperti yang dinyatakan di dalam kupon letak kereta tersebut.

Cara Mempamerkan Kupon Letak Kereta

  • Pemandu atau pemunya kenderaan bermotor yang menggunakan kupon letak kereta untuk meletakkan kenderaan bermotor hendaklah mempamerkan kupon letak kereta di atas bahagian kanan papan pemuka kenderaan bermotor dengan menghadap cermin hadapan dan hendaklah memastikan bahawa pandangan Pembantu Penguatkuasa (Tempat Letak Kereta) yang bertugas tidak dihalang untuk memeriksa kupon letak kereta itu, pada bila-bila masa ketika kenderaan bermotor diletakkan di tempat letak kereta berkupon itu.
  • Kupon Letak Kereta yang telah dipinda, diubah, dirosakkan, dilipat atau diconteng adalah terhenti menjadi sah untuk digunakan.

Pengiraan Masa Letak Kereta
Di mana dua atau lebih kupon dipamerkan di atas sesuatu kenderaan bermotor untuk meliputi tempoh di dalam masa kenderaan bermotor itu diletakkan di dalam satu-satu tempat letak kereta berkupon, masa permulaan yang ditunjukkan di dalam kupon yang kedua atau kupon yang berikutnya hendaklah bersambung serta merta selepas tamat tempoh masa letak kereta sepertimana yang ditunjukkan di dalam kupon yang terdahulu.

Masa Permulaan Kupon
Tiada seorang pun yang boleh mempamerkan atau menyebabbakb atau membenarkan untuk dipamerkan ke atas sesebuah kenderaan bermotor sesuatu kupon letak kereta dalam mana masa permulaan meletak kenderaan bermotor di situ menunjukkan bahawa ianya adalah lebih lewat daripada masa sebenarnya apabila ianya meletak kenderaan bermotor itu di tempat letak kereta berkupon.

Kesalahan Terus-menerus Meletak Kenderaan Bermotor Setelah Tamat Tempoh Kupon
Mana-mana orang yang terus-menerus meletakkan kenderaan bermotornya di tempat letak kereta berkupon setelah tamat tempoh kupon letak kereta yang dipamerkan di kenderaan bermotor itu bagi meliputi bayaran yang ditetapkan adalah melakukan satu kesalahan.

Rujukan : Perintah Lalu Lintas Jalan (Peruntukan Tempat Letak Kereta) MDKT