18.01.2025, Sabtu: YB Dato’ Mohd Jafni bin Md Shukor, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan & Kerajaan Tempatan Negeri Johor telah merasmikan Majlis Serah Terima Projek Naiktaraf dan Penyerahan Kunci kepada peniaga di Pantai Teluk Mahkota, Tg. Sedili. Majlis diserikan bersama En Mohammad Nazrul bin Abd Rahim, Yang Dipertua MDKT. Turut hadir sama YB Tuan Muszaide bin Makmor, ADUN Sedili, En Mohd Hafiz bin Aliman, Setiausaha Bahagian, Bahagian Kerajaan Tempatan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, En Hashim bin Muhammad, Ketua Whip MDKT serta barisan Ahli-ahli Majlis MDKT, Ketua-ketua Jabatan Persekutuan & Negeri, Pemimpin Tempatan dan masyarakat tempatan.
Sesi penyerahan projek di antara Pejabat Setiausaha Kerajaan Johor dan Majlis Daerah Kota Tinggi ini telah disampaikan oleh En Mohd Hafiz bin Aliman, Setiausaha Bahagian, Bahagian Kerajaan Tempatan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Johor dan disaksikan oleh YB EXCO. Sejumlah RM3,994,433.00 telah diperuntukkan bagi kerja-kerja menaiktaraf Tanjung sedili termasuk Pantai Teluk Mahkota, Kota Tinggi untuk memastikan kemudahan awam terus dipertingkatkan bukan sahaja untuk memberi keselesaan masyarakat, tetapi juga untuk menyokong perkembangan ekonomi setempat dan juga menjadi salah satu produk pelancongan utama Kota Tinggi sempena Tahun Melawat Johor 2026.
Turut diadakan sesi penyerahan kunci kepada para peniaga MyKiosk, Kiosk dan gerai Esplanade Tg. Sedili yang disempurnakan oleh YB EXCO, simbolik permulaan operasi perniagaan mereka. Sesi ini bertujuan untuk menyokong usahawan tempatan dan memberi peluang kepada mereka untuk memulakan perniagaan di Pantai Telok Mahkota. Penganjuran ini diharapkan dapat meningkatkan ekonomi setempat dan merancakkan aktiviti perniagaan.