MENU

Titian Laksamana 

Titian Laksamana merupakan Laman Dalam Komuniti. Laman ini terletak berhampiran dengan Taman Kemang. Titian ini dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya dan Perumahan - Datuk Baderi Dasuki.

 

Sejarah Laksamana Bentan (Megat Seri Rama)

Laksamana Bentan atau nama sebenarnya Megat Seri Rama berasal dari Kepulauan Riau dan berkhidmat ke bawah duli baginda Sultan Mahmud Syah II yang turut berpindah dari Riau ke Kota Tinggi bersama-sama dengan baginda setelah di bawa oleh Bendahara Seri Maharaja Tun Habab Abdul Majid.

 

Beliau merupakan ketua angkatan laut, dan menjadi orang kepercayaan baginda Sultan Mahmud Syah II untuk memerangi lanun yang mengganggu-gugat di perairan Sungai Johor. Pengkalan Rama adalah tempat di mana Laksamana Bentan menambat kapal perangnya iaitu di pinggir Sungai Pemandi, Kampung Makam. Laksamana Bentan telah dikurniakan sebuah kawasan atas jasa-jasa beliau pada baginda Sultan Mahmud Syah II, kawasan itu kini dikenali sebagai Kampung Kelantan. 

 

Sebuah peristiwa tragis telah berlaku di mana Dang Anum isteri beliau yang sedang sarat mengandung telah dihukum bunuh oleh Sultan Mahmud Syah II, dibelah perut akibat memakan tanpa izin seulas buah nangka kepunyaan baginda walaupun kerana mengidam. Peristiwa tersebut berlaku ketika ketiadaan Laksamana Bentan yang sedang melaksanakan tugas memerangi lanun di perairan Sungai Johor. 

 

Dang Anum telah dikebumikan di kampung kurnia milik Laksamana Bentan. Laksamana Bentan telah membalas dendam atas kematian isterinya dengan membunuh Sultan Mahmud Syah II ketika baginda di atas julangan seorang hambanya sewaktu baginda hendak menunaikan solat Jumaat. 

 

Beliau turut terbunuh dalam peristiwa itu akibat terkena lontaran keris dari baginda Sultan Mahmud Syah II yang ditikamnya dan sebelum kedua-duanya menghembuskan nafas terakhir Sultan Mahmud Syah II telah bersumpah tujuh keturunan Bentan tidak boleh menjejakkan kaki ke bumi Kota Tinggi dan akan muntah darah sekiranya menjejakkan kaki ke bumi Kota Tinggi. 

 

Peristiwa yang menyayatkan hati ini berlaku pada tahun 1699M, Laksamana Bentan telah dikebumikan bersebelahan makam isterinya di Kampung Kelantan dan Sultan Mahmud Syah II telah disemadikan di Makam Diraja, Kampung Makam.