Telah berlangsung Bengkel Penggubalan Dan Penyelarasan Undang-Undang Kecil Taman Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Johor yang diadakan di KSL Resort & Hotel, Johor Bahru. Majlis Daerah Kota Tinggi selaku pihak penganjur dan penyelaras yang telah dilantik oleh pihak SUKKT untuk menyelaraskan penggubalan Undang-Undang Kecil tersebut di peringkat PBT Negeri Johor.
Bengkel tersebut telah dikendalikan oleh Encik Mohamad Haziq bin A Rahman, Pegawai Undang-Undang Majlis Bandaraya Johor Bahru dan juga merangkap Timb. Presiden 1 JURIS of JOHORE selaku moderator bagi bengkel yang dijalankan. Turut hadir sama adalah Pegawai / Penolong Pegawai Undang-Undang Pihak Berkuasa Tempatan dan wakil-wakil Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Johor yang lain terdiri daripada Pegawai Penguatkuasa dan Pegawai Perancang Bandar Dan Desa.
Bengkel tersebut telah membincangkan kandungan deraf Undang-Undang Kecil Taman yang disesuaikan dengan keperluan semasa dan penguatkuasaannya di lapangan. Selain itu, bengkel yg diadakan menjadi ruang untuk pegawai yang hadir selaku peserta bengkel memberikan pandangan perundangan serta buah fikiran dan mengkaji lebih terperinci berdasarkan garis panduan yang berkuat kuasa serta prosedur sedia ada.
Maka dengan itu, deraf serta kandungan Undang-Undang Kecil Taman yang dimuktamadkan dapat dibawa cadangan kepada Kerajaan Negeri Johor untuk penyeragaman dan penguatkuasaan sebagaimana saranan oleh YB Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor. Pentingnya sesuatu Undang-Undang Kecil ini digubal dan diselaraskan mengikut keperluan semasa supaya pengurusan dan penguatkuasaan di kawasan taman termasuk taman perumahan dapat dilaksanakan dengan efisien seterusnya melindungi keselamatan penduduk setempat atau orang awam terutamanya kanak-kanak. Kewajipan mematuhi Undang-Undang Kecil yang bakal diwartakan kelak merupakan tanggungjawab semua pihak demi manfaat bersama.